You are here

Pertuturan Kiu Dalam Bahasa Arab (PKBA)

PKBA direka untuk memberi peluang kepada setiap individu cacat pendengaran serta guru-guru mereka untuk mengaji Al-Quran dengan suara yang kuat. Ia dicipta sebagai alat untuk memberitahu kanak-kanak tersebut akan perbezaan bunyi pertuturan dalam Bahasa Arab. PKBA menawarkan satu kelebihan ketara jika dibandingkan dengan bahasa isyarat: ia menawarkan kepada golongan cacat pendengaran sebutan perkataan Bahasa Arab yang tepat jika dibandingkan dengan penggunaan bahasa isyarat untuk perkataan tersebut. Dalam projek ini, modul PKBA yang merangkumi kaedah-kaedah dan contoh-contoh untuk menyebut kesemua konsonan dan vokal dalam Bahasa Arab, sehingga dapat mengaji Al Quran, akan didokumentasikan.

PKBA akan dibuat berlandaskan prosedur-prosedur yang telah digariskan oleh Tan mengikut format Pertuturan Kiu dalam Bahasa Melayu (Cued Speech in Malay) dan Pertuturan Kiu dalam Bahasa Inggeris. Konsonan dan vokal PKBA akan mengikut cara yang dipraktikkan kini di Pusat Pertuturan Kiu, Kampung Pandan. Walau bagaimanapun, senarai tersebut akan diteliti, disempurnakan dan disahkan oleh pihak berkuasa tertentu apabila projek ini sudah bermula.

Fardu Ain Bagi Golongan Islam Cacat Pendengaran (FAICP1 @  FADM1) direka untuk memberi satu sumber kepada setiap individu yang cacat pendengaran serta guru-guru mereka untuk belajar dan berlatih dengan efektif cara melaksanakan ibadah-ibadah wajib seseorang yang beragama Islam walaupun kurang berupaya. FADM1, yang akan tertumpu terutamanya kepada perlaksanaan wuduk dan solat, akan mengandungi latihan sebutan bagi ayat-ayat yang wajib dalam solat seperti membaca takbir, surah Al-Fatihah, tahiyat, salam dsb. Pembacaan ayat-ayat ini dapat dilakukan oleh golongan cacat pendengaran melalui latihan dan intervensi mengikut kursus PKBA. FADM1 menawarkan satu kelebihan berbanding bahasa isyarat tradisi: ia membolehkan golongan cacat pendengaran untuk menunaikan solat mereka seperti insan-insan biasa tanpa memerlukan penterjemahan ayat-ayat tersebut kepada isyarat.

FADM1 akan dibentuk berdasarkan buku-buku keluaran Kementerian Pendidikan tentang melatih kanak-kanak Islam untuk menunaikan solat.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer