You are here

Pertuturan Kiu Dalam Bahasa Malaysia (PKBM)

Dr. R. Orin Cornett mencipta Pertuturan Kiu dalam tahun 1967 dengan tujuan membantu kanak-kanak pekak Amerika membaca gerak bibir dalam bahasa Inggeris. Cara pertuturan ini adalah dengan menggunakan pergerakan tangan yang membawa maksud (kiu) tertentu. Ini adalah untuk mengelakkan  kekeliruan dalam pembacaan gerak bibir.

Sayangnya, dengan sifat keunikan Bahasa Inggeris, pertuturan Kiu tidak mencapai pencapaian seperti yang diharapkan semasa penggunaannya di Amerika dan juga di negara-negara yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan.

Dalam tahuan 1988, NSD menjalankan satu projek bagi memastikan pertuturan Kiu Bahasa Malaysia (PKBM) boleh digunakan dengan jayanya di negara ini berbanding dengan Negara barat yang berbahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda.

Ternyata kaedah PKBN ini boleh digunakan secara efektif oleh ibu bapa dengan anak pekak mereka untuk bertutur dalam Bahasa Malaysia di rumah.

Kaedah ini juga mendapati kanak-kanak pekak yang beragama Islam boleh diajar berdoa serta membaca Bahasa Arab dan mengaji Al-Quran.

Dengan adanya kemudahan untuk berkomunikasi di rumah menggunakan kaedah ini,kanak-kanak pekak tidak lagi berasa terasing atau berasa ketinggalan secara intelek mahupun dalam pergaulan social. Pertuturan Kiu meningkatkan martabat hidup kanak-kanak pekak ini seperti kanak-kanak lain yang sempurna pendengarannya.

 

Perkembangan Pertuturan Kiu Bahasa Malaysia

Pertuturan Kiu Bahasa Malaysia (PKBM) diadaptasikan oleh Encik Tan Chin Guan dengan bantuan Dr R Orin Cornett sendiri pada tahun 1982.

Encik Tan yang merupakan Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pekak Malaysia bertemu dengan Dr Cornett semasa menghadiri seminar antarabangsa berkaitan cacat pendengaran di Universiti Gallaudet, Amerika Syarikat.

Setelah meneliti keunikan dan keberkesanan Pertuturan Kiu, Encik Tan yakin dan percaya andainya Bahasa Melayu digunakan dengan kaedah Pertuturan Kiu, ianya pasti dapat membantu golongan cacat pendengaran di Malaysia menguasai bahasa Melayu.

Sekembalinya dari Amerika, Encik Tan mula memperkenalkan kaedah ini kepada beberapa ibubapa yang mempunyai anak cacat pendengaran. Bertempat di rumah beliau sendiri, Encik Tan dan isteri, Dr Dora menggunakan pertuturan kiu sebagai kaedah intervensi awal untuk anak-anak istimewa tersebut.

Pada tahun 1988, Persatuan Kebangsaan Pekak Malaysia dengan rasminya memulakan kaedah pertuturan kiu untuk mengajar kanak-kanak cacat pendengaran di premis yang ada pada hari ini.

Kepercayaan dan keyakinan ibubapa akan keberkesanan kaedah ini bagi membantu anak-anak pekak mereka tidak menjadi bisu menjadi sebab utama pusat ini terus kekal dan berkembang hingga hari ini.  

 

Manfaat PKBM Untuk Kanak-Kanak  Cacat Pendengaran

 

Kanak-kanak pekak yang menggunakan cara Pertuturan Kiu mampu mencapai kemahiran membaca, menulis dan mengira sepertimana rakan sebaya yang normal.

Kanak-kanak yang telah cekap menggunakan PKBM secara tidak langsung mengetahui tentang struktur fonetik setiap perkataan. Ini akan dapat membantu mereka menguasai bahasa Inggeris atau laian-laian bahasa kedua sama ada secara bertulis atau bertutur.

PKBM Dan Kanak-Kanak Cacat Pendengaran

Walaupun kanak-kanak cacat pendengaran tidak dapat mendengar butir pertuturan dengan jelas, PKBM menjamin penerimaan dan pemahaman sesuatu bahasa. Untuk itu, penguasaan bahasa mereka tidak terjejas oleh sebutan yang kurang terang. Tambahan pula, mereka sentiasa menyebut setiap perkataan yang diucap dan mengkiunya serentak. Kanak-kanak ini juga sentiasa digalakkan agar boleh memperbaiki sebutan mereka.

Jelas kini, PKBM boleh dianggap sebagai satu kejayaan yang dapat membantu penguasaan bahasa dan kemahiran bertutur kanak-kanak cacat pendengaran (sama ada yang sederhana ataupun yang teruk). Sekiranya PKBM digunakan, ia juga memanfaatkan kanak-kanak da dalam sesi terapi pertuturan mereka.

Theme by Danetsoft and Danang Probo Sayekti inspired by Maksimer